Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Rumah sembelihan ditutup

ASF : Rumah penyembelihan milik Majlis Bandaraya Miri ditutup

MIRI, 8 April : Berikutan pengesanan virus Demam Babi Afrika (ASF) Rabu lepas, rumah penyembelihan babi milik Majlis Bandaraya Miri di Krokop telah ditutup sebagai langkah kawalan untuk mencegah penularan penyakit tersebut.

Arahan penutupan di bawah Seksyen 25, Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999 itu juga bertujuan bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dan sanitasi dilakukan secara efektif.

Menteri Pemodenan Pertanian Dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom dalam satu kenyataan di sini berkata bagi menampung bekalan daging babi untuk memenuhi pasaran di Miri, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak membenarkan daging babi dihantar ke Bahagian Miri dari Sibu, Samarahan dan Kuching.

“Bagaimanapun, pergerakan babi hidup ke Miri untuk penyembelihan diberhentikan buat sementara waktu,” katanya.

Menurutnya Bahagian Sri Aman dan Serian telah diisytihar sebagai Kawasan Kawalan Penyakit ASF terbaharu berikutan laporan media Indonesia mengenai wabak ASF di Kalimantan Barat.

Dalam masa sama, Dr Rundi berkata babi kampung di Kampung Mapu Kijabu dan Kampung Daha Kisau di Bahagian Serian juga telah disahkan positif ASF oleh makmal Veterinar Sarawak.

“Para penternak babi diingatkan sekali lagi untuk memperketatkan biosekuriti ladang masing-masing untuk mengelak jangkitan ASF ini.

“Pemberian sisa dapur yang mungkin dicemari ASF kepada babi harus dihentikan kerana terbukti banyak kes jangkitan melalui cara ini,” katanya.

Beliau turut mengingatkan orang awam supaya menghentikan aktiviti memburu babi hutan di kawasan berdekatan sempadan.

Sementara itu, bagi perayaan Hari Gawai pada 1 Jun ini, beliau berkata bekalan babi adalah mencukupi.

ASF merupakan penyakit yang sangat mudah merebak yang hanya menyerang ternakan babi dan bukan penyakit zoonotik atau tidak berjangkit kepada manusia. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan