Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Persembahan muzik sape oleh 250 pemain pada malam penutup Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 di sini Ahad ini bakal mencatat rekod baharu dalam Malaysia Book of Records (MBR). Foto: Faitullah Morni (TVS)
Persembahan muzik sape oleh 250 pemain pada malam penutup Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 di sini Ahad ini bakal mencatat rekod baharu dalam Malaysia Book of Records (MBR). Foto: Faitullah Morni (TVS)

250 pemain sape bakal cipta rekod MBR di Citrawarna Keluarga Malaysia 2022

KUCHING, 25 Feb : Persembahan muzik sape oleh 250 pemain pada malam penutup Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 di sini Ahad ini bakal mencatat rekod baharu dalam Malaysia Book of Records (MBR).

Guru Sape, Elizabeth Bungan, 32, yang juga pengasas studio Culture Meet berkata sape yang merupakan alat muzik tradisional masyarakat Orang Ulu itu akan dimainkan oleh pemain dari seluruh Malaysia secara serentak selama lima minit di Tebingan Sungai Kuching.

“Ini merupakan cubaan kali kedua untuk mencatat rekod MBR iaitu ramai pemain dalam satu masa. Ia melibatkan penambahan jumlah pemain kepada 250 orang berbanding 207 sewaktu kali pertama mencipta rekod itu di Miri pada 2017,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata kesemua pemain terdiri daripada pelbagai latar belakang kaum dan etnik yang berkongsi minat terhadap sape sekali gus mahu memartabatkan muzik tradisional Sarawak.

Menurutnya ketika latihan, pemain dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil dengan setiap sesi dihadkan kepada 50 orang sahaja selain perlu membuat ujian saringan COVID-19.

Elizabeth berkata mereka hanya mengadakan latihan secara bersemuka selama tiga hari sahaja sebelum persembahan namun yakin impian untuk mencatat rekod itu tercapai dengan kerjasama semua pemain.

“Sebenarnya kami telah memulakan sesi latihan sejak Disember lepas namun hanya secara dalam talian dengan skala kecil,” katanya.

Anak Sarawak kacukan Kenyah dan Beketan yang berasal dari Sibu itu telah memulakan karier sebagai pemain sape profesional sejak 2016 selepas menyertai persembahan di Festival Muzik Hutan Hujan Dunia (RWMF).

Elizabeth atau lebih dikenali sebagai Eli mula dikenali ramai apabila beliau sering memuat naik videonya bermain sape menerusi laman sosial.

Selain pernah mendapat jemputan untuk membuat persembahan di majlis-majlis rasmi, beliau juga pernah bermain sape bersama dua ikon sape Sarawak, Jerry Kamit dan Alena Murang pada RWMF 2019. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan