Search
Close this search box.

Demi ‘Alibi’, Azam Pit sanggup duduk di hotel selama dua minggu

RAMAI yang pasti sudah mengenali artis kelahiran Sarawak ini.

Azam Pit, atau nama sebenarnya Ahmad Azam Bin Pit, mula mengorak langkah dalam industri seni Malaysia pada tahun 2009 apabila beliau menyertai sebuah rancangan nyanyian realiti TV terbitan Radio Television Malaysia (RTM).

Selain itu, beliau juga pernah menyertai rancangan nyanyian realiti TV terbitan TV3 iaitu ‘My Starz LG’ Musim 3 pada tahun 2010.

Selepas sedekad dalam industri hiburan, Azam telah membina nama sebagai artis ‘versatile’ atau serba boleh yang berbakat dalam bidang nyanyian dan lakonan.

Kemunculan terbaharu beliau adalah dalam drama bersiri ‘Alibi’ yang diterbitkan oleh sebuah syarikat produksi dari Sarawak, Syaz Petra Sdn Bhd.

Mengenai drama terbaharunya itu, Azam sangat teruja dengan watak yang beliau bawa sebagai Amar, anak kaya yang bahagia, tetapi setelah ibunya meninggal dunia, segalanya berubah, dan beliau beranggapan bahawa ayahnya adalah punca bagi masalah keluarga mereka.

Kemudian, Amar dituduh sebagai pembunuh atau suspek utama dalam kes pembunuhan ayahnya. Untuk menyelamatkan diri, Amar bersembunyi dengan bapa saudaranya di sebuah gudang untuk mencari ‘Alibi’ sebenarnya.

Klik sini >> Azam sebagai penyampai berita INSPIRASI TVS

Mengulas lanjut, Azam juga sangat teruja kerana diberi peluang untuk memegang watak lasak dalam drama itu kerana sebelum ini, beliau selalunya berlakon dalam cerita cinta, cerita konflik keluarga, dan sebagainya, namun kali ini beliau diberi kepercayaan untuk memegang watak utama yang beraksi lasak.

“Saya sangat teruja kerana diberi watak yang saya tunggu-tunggu selama ini, iaitu watak lasak, kerana sebelum ini saya selalu berlakon cerita cinta, konflik keluarga, dan sebagainya,” kata Azam.

“Lagipun saya juga dapat maklum balas yang positif daripada kawan-kawan saya di Semenajung, Sabah mahupun Sarawak, bahawa cerita ‘Alibi’ ini sebuah genre yang sangat disukai ramai,” katanya lagi.

Di sebalik tabir set penggambaran ‘Alibi’.

Di sebalik tabir set penggambaran ‘Alibi’.

Bagaimanapun, Azam turut berkongsi tentang cabaran sepanjang pembikinan drama tersebut, dengan penggambaran yang dibuat ketika pandemik COVID-19 sedang melanda Sarawak. Keadaan itu telah membataskan pergerakan mereka.

“Cabaran saya ketika itu, kampung saya diperintahkan untuk menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), dan ketika itu saya membuat keputusan untuk tinggal di hotel selama dua minggu. Itulah pengorbanan saya bagi drama ‘Alibi’,” katanya ketika ditemubual oleh TVS.

Pada masa yang sama, Azam juga memberitahu babak yang paling susah dilakukan adalah babak berlawan, “kerana babak berlawan perlu dilakukan secara spontan, dan jika tersalah pergerakan, perlu diambil berkali-kali, dan kadang-kadang boleh tertumbuk betul-betul”.

Di samping itu, beliau turut bercerita mengenai penggunaan bahasa yang digunakan dalam drama tersebut.

Beliau sangat teruja kerana bahasa yang digunakan adalah bahasa Melayu Sarawak yang tidak membuatkannya rasa kekok walaupun sebelum ini banyak berlakon dalam Bahasa Malaysia.

Beliau malah berasa bangga kerana dapat memperkenalkan bahasa Melayu Sarawak ke seluruh pelusuk dunia melalui platform yang ada seperti TVS.

“Saya sangat bangga kerana bahasa yang digunakan adalah bahasa Melayu Sarawak. Lagipun dengan platform inilah kita dapat tunjuk bakat dan budaya orang Sarawak ke seluruh pelosok dunia,” kata Azam.

“Walaupun saya sudah 12 tahun berada dalam industri ini, saya tidak pernah kekok menggunakan bahasa Melayu sarawak, malah saya teruja menggunakannya,” katanya kepada TVS.

Azam berharap akan ada ‘Alibi 2’ selepas siri drama itu mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai, namun beliau juga faham bahawa bajet yang digunakan bagi pembikinan drama tersebut agak tinggi.

Bercakap mengenai perkembangan dirinya sendiri, Azam baharu sahaja selesai menjalani penggambaran bagi sebuah drama televisyen atau ‘telemovie’ Sabah, dan dijadual membuat penggambaran bagi siri ‘Hope Finds Love Musim 2’ yang dijangka bermula pada Mei atau Jun.

Azam berharap para peminatnya akan terus menyokong kariernya, dan menggalakkan lebih ramai anak Sarawak yang berbakat dalam bidang lakonan atau nyanyian untuk tampil ke hadapan dan menonjolkan diri supaya Sarawak dapat menghasilkan ramai pelakon yang setanding dengan pelakon hebat lain di Semenanjung Malaysia. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan