Search
Close this search box.

IHCM nasihat hati-hati dengan penularan Omicron di Sarawak

KUCHING, 15 Jan : Orang ramai di Sarawak dinasihatkan supaya mengambil langkah “penuh berhati-hati” terutama menjelang ketibaan sambutan Tahun Baru Cina tidak lama lagi, selepas 36 kes COVID-19 varian Omicron dikesan di negeri ini bulan ini.

Pengarah Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti, Universiti Malaysia Sarawak (IHCM-UNIMAS) Prof Dr David Perera berkata kes-kes yang melibatkan varian paling mudah menjangkiti itu dikesan di bahagian Kuching, Samarahan, Sibu dan Kapit, dengan kebanyakan kes melibatkan penularan dalam komuniti.

“Justeru, ambil langkah penuh berhati-hati menjelang sambutan Tahun Baru Cina ini dengan pematuhan ketat terhadap prosedur operasi standard (SOP). Sebolehnya elak perhimpunan komuniti bagi menghalang penularan jangkitan dalam masyarakat,” katanya dalam laporan beliau yang diserahkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBNS) di sini hari ini.

Beliau yang juga anggota Kumpulan Penasihat COVID-19 Sarawak (SCoVAG) berkata mereka yang masih belum mendapat suntikan dos penggalak vaksin seharusnya mendapatkan dos berkenaan dengan segera kerana kajian menunjukkan bahawa ia perlu bagi meningkatkan perlindungan daripada jangkitan virus varian Omicron.

“Varian Delta kekal sebagai varian dominan pada bulan Disember dengan 212 kes dikesan, dan enam kes lagi dikesan Januari ini. Pada akhir Disember, kami mengesan lapan kes varian Omicron, dengan tujuh adalah kes import dan satu kes tanpa sejarah perjalanan terkini,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan