Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

BSN sasar bantu 85,000 usahawan mikro tahun ini

KUALA LUMPUR, 4 Jan : Bank Simpanan Nasional (BSN) menyasar untuk membantu sejumlah 85,000 usahawan tahun ini dalam usaha mengembalikan keupayaan perniagaan mereka terutamanya usahawan mikro yang terjejas akibat pandemik COVID-19 dan bencana banjir.

Ketua Pegawai Perniagaannya Mujibburrahman Abd Rashid berkata daripada jumlah tersebut, seramai 25,000 usahawan dijangka dibantu menerusi Skim Semarak Niaga Keluarga Malaysia (SemarakNiaga), manakala 60,000 usahawan lagi bakal menerima manfaat melalui Geran Padanan Digital.

 “Kita telah melihat perusahaan mikro merupakan antara sektor yang terawal bangkit semula setelah semua sektor ekonomi dibuka dan sekatan perjalanan antara negeri ditarik balik.

“Saya yakin lebih ramai usahawan mikro yang memerlukan bantuan untuk melonjakkan kembali perniagaan mereka ke paras sebelum pandemik atau lebih baik daripada yang pernah direkodkan sebelum ini,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual khas baru-baru ini.

Pada tahun lepas, BSN telah membantu seramai 88,000 usahawan mikro, melalui kombinasi skim pembiayaan yang terdahulu iaitu PRIHATIN, PENJANA dan PEMERKASA, serta Geran Padanan Digital.

Mengenai SemarakNiaga, Mujibburrahman berkata, permohonan boleh dilakukan mulai Januari tahun ini dan antara kriteria kelayakannya adalah pemohon merupakan usahawan mikro, sama ada pemilikan tunggal, perkongsian ataupun Sendirian Berhad milik warganegara Malaysia.

Syarikat tersebut juga harus berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau pihak berkuasa tempatan dan telah beroperasi tidak kurang daripada enam bulan, katanya.

“Sebagai sebuah institusi yang dimandatkan oleh Kementerian Kewangan untuk membantu sektor usahawan mikro negara, BSN menawarkan pembiayaan ini pada kadar 3.5 peratus, jauh lebih kompetitif berbanding insitusi kewangan lain yang secara purata menawarkan kadar faedah sebanyak dua digit.

“Selain itu, BSN turut mengurangkan keperluan dokumentasi bagi memudahkan pemohon. Saya yakin, SemarakNiaga akan mendapat sambutan yang amat menggalakkan,” katanya.

Program yang melibatkan pakej pembiayaan dengan nilai keseluruhan RM40 bilion itu diumumkan oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Bajet 2022 di Parlimen pada 29 Oktober, 2021.

Di bawah SemarakNiaga, pembiayaan kredit mikro bernilai hampir RM1.8 bilion akan disediakan melalui pelbagai agensi seperti BSN, TEKUN, Agrobank, Bank Rakyat dan Bank Negara Malaysia.

Sementara itu, Mujibburrahman berkata BSN terus komited memperkasakan mandatnya dalam memastikan rakyat Malaysia mendapat akses perbankan yang menyeluruh terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman di Sabah dan Sarawak menerusi inisiatif Cawangan Bank Bergerak (CBB).

Beliau berkata melalui CBB, masyarakat pedalaman berupaya memiliki akses kepada pelbagai perkhidmatan perbankan seperti transaksi pengeluaran wang tunai melalui Mesin Teler Automatik (ATM), pembukaan akaun dengan Kad Debit BSN, simpanan tunai, pembelian BSN Sijil Simpanan Premium (BSN SSP), pembayaran bil utiliti dan tambah nilai.

CBB BSN Sarawak mula beroperasi pada 15 Julai, 2021 di Sungai Asap dan Sebauh, manakala CBB BSN Sabah pada 12 Oktober 2021 di Pitas, Paitan, Sook, Nabawan, Kalabakan dan Tungku.

“Sambutan yang diterima amat menggalakkan. Jumlah urusan deposit yang diterima daripada CBB Sarawak dan CBB Sabah sehingga 9 Disember 2021 adalah sebanyak RM235,554 yang melibatkan 1,548 transaksi.

“Kami menjangkakan peningkatan pertumbuhan bersih deposit bagi tahun 2022 dianggarkan sebanyak 12 peratus daripada aktiviti perbankan melalui CBB,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, sasaran itu bergantung kepada situasi semasa pandemik COVID-19 serta arahan lanjut oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta pihak berkuasa tempatan.

Mujibburrahman menambah secara keseluruhannya, setakat 30 November 2021, penyimpan BSN berjumlah seramai 9.11 juta. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan