Search
Close this search box.
Mensia mayuh dilalau ngambi tuchuk vaksin pengalak COVID-19.

PICK sinar baharu kawal COVID-19, harapan rakyat ke fasa endemik

PENDARATAN pesawat MH604 yang membawa 312,390 dos vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 10 pagi, 20 Februari 2021 ibarat ‘cahaya di hujung terowong’ bagi rakyat Malaysia dalam mendepani wabak COVID-19.

Sememangnya vaksin yang tiba dari Belgium itu sudah lama dinanti-nantikan rakyat Malaysia untuk dijadikan ‘benteng’ bagi membebaskan negara ini dan rakyatnya daripada derita cengkaman COVID-19 yang diharungi sejak awal 2020.

Menyingkap tirai pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang dilancarkan pada 24 Feb, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Perdana Menteri ketika itu menjadi warga pertama menerima suntikan dos pertama pada hari tersebut.

Detik bersejarah yang berlangsung di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Putrajaya di Presint 11, Putrajaya itu seterusnya membawa kejayaan demi kejayaan kepada program vaksinasi kebangsaan dengan menyaksikan proses vaksinasi secara percuma itu terus rancak di mana-mana negeri di seluruh negara.

Pastinya gandingan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi yang masing-masing diterajui Datuk Seri Dr Adham Baba dan Khairy Jamaluddin ketika itu sebelum mereka bertukar portfolio pada Ogos lepas wajar diberi kredit dan pujian atas kejayaan PICK berkenaan.

PICK yang dilaksanakan dalam empat fasa, menyasarkan 80 peratus populasi dewasa divaksin untuk mencapai imuniti kelompok bagi mengawal penularan COVID-19 dalam negara dengan fasa pertama menyasarkan golongan barisan hadapan.

Bagi melicinkan proses vaksinasi, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) ditubuh dan penerima diberi janji temu melalui aplikasi MySejahtera dan proses vaksinasi dijalankan di ratusan pusat pemberian vaksin (PPV) di seluruh negara.

Untuk memastikan program vaksinasi mencapai matlamat secara menyeluruh, program secara ‘walk in’ atau jumpa terus turut dilaksanakan selain pendekatan ‘outreach’ di kawasan pedalaman dan sehingga kini lebih 97 peratus populasi dewasa negara ini telah mendapat dos lengkap vaksin.

Selain Pfizer, negara turut membeli vaksin lain termasuk Sinovac dan AstraZeneca dengan kos melebihi RM3 bilion yang dimasukkan dalam Belanjawan 2021.

Walaupun dihimpit pelbagai cabaran seperti isu AstraZeneca yang dikatakan boleh menyebabkan maut manakala Pfizer digembar-gemburkan pihak tidak bertanggungjawab sebagai berbahaya kepada remaja berusia 12 hingga 17 tahun, dengan semangat waja rakyat Malaysia mahu ‘memerangi’ virus maut itu, momentum pelaksanaan PICK terus meningkat.

Majoriti rakyat Malaysia tidak menghiraukan semua dakyah itu dengan sejuta mendaftar secara sukarela sebagai penerima AstraZeneca meskipun pada mulanya vaksin itu dikeluarkan daripada program PICK manakala lebih 86 peratus daripada golongan remaja berumur 12 hingga 17 tahun yang divaksin dengan Pfizer telah mendapat dos lengkap vaksinasi sejak vaksinasi golongan itu dimulakan pada 12 Sept.

‘Serangan’ varian Delta yang pernah melonjakkan kes harian COVID-19 tertinggi di negara ini iaitu sebanyak 23,564 kes, sedikit mengganggu sasaran imuniti kelompok namun langkah memperhebatkan gerakan PICK berjaya menurunkan angka kepada kurang daripada 5,000 kes sehari.

Bagai menanti bulan jatuh ke riba, kejayaan program PICK diterjemah dengan pengumuman pembukaan sempadan negeri yang ditutup sejak Mac pada 11 Okt oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob apabila kadar vaksinasi populasi dewasa rakyat Malaysia mencecah 90 peratus.

Serentak dengan pengumuman itu, pelbagai kelonggaran mula dikecapi rakyat namun tetap mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) terutama di tempat awam, demi memastikan pemulihan ekonomi dan pencegahan wabak itu berjalan seiring.

Menyedari kemunculan pelbagai varian baharu yang membimbangkan, KKM tidak menangguh agenda melaksanakan dos penggalak pada November, dimulakan dengan penerima vaksin Sinovac bagi menguatkan antibodi yang mungkin menurun selepas beberapa bulan menerima dos lengkap.

Tidak hanya menumpukan proses vaksinasi, pengawalan COVID-19 melalui program kesihatan awam juga terus disiapsiagakan dengan pelaksanaan pelbagai langkah termasuk penubuhan lebih banyak Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) serta mempergiat TRIIS iaitu Test  (Uji), Report (Lapor), Isolate (Asing), dan Seek (Dapatkan rawatan) untuk persediaan ke arah endemik.

Justeru, usaha sokongan diaktifkan termasuk agihan bantuan 100,000 pek Pakej Penjagaan COVID-19 (PPC) kepada keluarga B40 selain penetapan harga siling borong runcit bagi kit ujian pantas antigen COVID-19 (ujian kendiri) berkuat kuasa pada 5 Sept bagi mengawal harga kemudahan itu di pasaran oleh KKM.

Tahun ini juga menyaksikan KKM mengambil langkah berani membawa usul pindaan Akta 342 ke Parlimen supaya jumlah kompaun dinaikkan sehingga RM10,000 bagi individu dan sehingga RM1 juta bagi syarikat sekiranya melanggar SOP di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Pelan peralihan ke fasa endemik terganggu dek kemunculan varian Omicron baru-baru ini, namun KKM telah mengambil langkah pantas menyekat pengembara dari negara berisiko tinggi daripada memasuki Malaysia bagi mengekang varian tersebut menular ke negara ini.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan