Search
Close this search box.

Bermain dengan 40 ekor rusa di zoo mini Kapit

KAPIT, Dis 13: Hobi menternak binatang selama hampir 10 tahun kini bertukar menjadi pekerjaan sepenuh masa di tanah kebun berkeluasan 35 hektar yang dinamakan Lulut Agro Farm.

Pemiliknya, Lulut Ipoh berkata, kawasan kebun miliknya itu diberi jolokan sebagai zoo mini kerana ia merupakan satu-satunya tempat peliharaan haiwan liar seperti rusa yang jarang dipamerkan sebelum ini.

Kata Lulut, dia mula berjinak-jinak dengan Agro Farm ini sejak 2008 dan ‘operasinya’ juga dibantu oleh agensi kerajaan.

” Antara yang membantu saya termasuk Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Getah (RISDA) apabila saya mendaftar sebagai usahawan di bawah agensi itu dan kini sudah memiliki lesen menternak haiwan dilindungi,” katanya kepada TVS baru – baru ini.

Antara haiwan yang menjadi tarikan di ladangnya termasuklah 40 ekor rusa, tiga ekor buaya, dua ekor enturun (haiwan pemakan buah), tiga ekor ular sawa, seekor musang, tiga ekor monyet dan lapan ekor kambing.

Selain itu, dia turut menyediakan sebuah kolam yang menternak pelbagai jenis ikan seperti Pacu, Leko, Tengadak, Semah, Sultan dan Tilapia.

“Saya tidak pernah mengimpikan kebun ini tular di laman sosial dan orang ramai yang datang saban hari semakin bertambah terutamanya pada hujung minggu,” katanya.

“Setiap pengunjung cuma dikenakan bayaran masuk sebanyak RM5,” katanya.

Syarat lain yang dikenakan termasuklah mesti mematuhi prosedur standard operasi (SOP) yang telah ditetapkan bagi mengawal penularan wabak COVID-19.

Orang ramai yang datang turut mencadangkan supaya kemudahan untuk pengunjung disediakan seperti pondok rehat, kerusi, jambatan kecil, tempat makan dan sebagainya.

“Saya belum mempunyai peruntukan yang cukup menyediakan semua kemudahan tersebut.

“Oleh itu, saya berharap supaya agensi kerajaan dapat memberi bantuan untuk memajukan Agro Farm ini,”katanya.

Sekiranya diberi kebenaran, Lulut ingin menambah koleksi haiwan di taman tersebut kerana ia dilihat berpotensi untuk menarik lebih ramai pengunjung sekaligus memacu pembangunan eko pelancongan di Kapit.

Selain itu, dia juga turut menanam pokok buah-buahan tempatan seperti dabai, durian, langsat, limau, manggis, mawang, mempelam dan sebagainya.

Seorang pengunjung dari Kapit , Sherrina Jenny berkata, kewujudan zoo mini itu kini menjadi salah satu tempat untuk meluangkan masa bersama ahli keluarga terutamanya ketika musim cuti sekolah.

“Selalunya hujung minggu kita tidak bekerja dan anak-anak bosan tinggal di rumah. Sekali sekala kita boleh membawa mereka datang sini,” katanya.

Katanya, ia turut memberi peluang kepada kanak – kanak untuk belajar mengenali haiwan dan pokok buah-buahan tempatan yang ada.

Sementara itu, Mohd. Nur Hakim berkata, dia sanggup datang jauh bersama isteri dan anak semata-mata ingin melihat rusa yang ada di Agro Park tersebut.

“Sebenarnya saya sudah lama merancang untuk membawa keluarga ke sini namun keadaan jalan sebelum ini belum sempurna.

“Kini jalan sudah siap dan sangat memudahkan perjalanan dari Ulu Balingian ke Kapit,” katanya. -TVS

Tags: Kapit, zoomini

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan