Search
Close this search box.

PBB sentiasa melatih pemimpin baharu – Uggah

ByFreddy Bohari

(Gambar atas: Uggah dan Ahli Parlimen Betong Datuk Lawson Robert Chuat sedang berbincang dengan Penghulu Goh Leng Tong mengenai beberapa isu yang dihadapi masyarakat Cina di Spaoh.)

SPAOH, 7 Dec : Proses melatih pemimpin baharu sangat penting sekali, dan bagi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) Sarawak merupakan masa yang terbaik untuk membawa proses ini ke aras yang lebih tinggi.

Timbalan Presiden (Pesaka) PBB Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata inilah sebabnya kenapa parti itu menampilkan lapan muka baharu untuk bertanding sebagai calon-calon dalam pilihan raya pada kali ini.

“Untuk memastikan PBB sentiasa relevan sebagai tulang belakang Kerajaan GPS Negeri, kita mesti membangunkan para pemimpin masa depan. Apabila seseorang pemimpin itu berundur, pemimpin baharu mesti tampil untuk mengisi kekosongan. Jadi PBB akan terus berkembang dan memberi khidmat yang baik kepada rakyat,” katanya.

“Selain itu, dalam setiap era baharu, anda pasti ada perjuangan yang berbeza. Anda pasti ada isu yang berlainan, dan dalam setiap era baharu, anda pasti ada cabaran yang berbeza.”

Ambil contoh, tambah Uggah, keadaan luar biasa pandemik COVID-19 sekarang yang dihadapi negara dan dunia.

“Ini adalah jalan yang tidak pernah kita lalui sebelum ini. Jadi kita perlu mengurusnya, dan semua pengalaman ini sangat penting,” katanya.

Sambil menceritakan tentang pengalamannya sendiri, Uggah berkata beliau sudah menceburi bidang politik sejak 1986.

“Saya pernah memegang beberapa jawatan dalam Kabinet Persekutuan. Apabila saya kembali ke Sarawak, saya dilantik untuk menjadi salah seorang Timbalan Ketua Menteri dan memegang jawatan lain, termasuk menjadi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak,” katanya.

“Pengalaman yang saya telah timba amat berharga sekali. Menjadi anggota pentadbiran negeri tidaklah mudah, terutamanya apabila menangani pandemik. Jadi melatih pemimpin baharu adalah satu usaha yang berterusan dan amat penting dalam PBB.”

Mengenai jumlah calon yang begitu ramai bertanding dalam pilihan raya pada kali ini, Uggah berkata ia menunjukkan demokrasi sangat subur di Sarawak.

“Kami mengalu-alukan semua mereka. Ini pasti sangat menarik. Contohnya, kita ada kerusi Dudong dengan lapan calon. Di Bukit Saban, saya akan menentang dua calon lain,” tambahnya.

Mengenai satu perkara lain, Uggah, yang merupakan pengarah pilihan raya Gabungan Parti Sarawak, berkata beliau dan pasukan kempennya akan mematuhi Prosedur Operasi Standard bagi PRN-12 Sarawak yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.

“Kita sudah melihat senarai kerusi DUN di mana ceramah boleh diadakan tetapi mesti patuh SOP. Bukit Saban adalah salah satu daripadanya. Walaupun capaian internet kita agak bagus, terdapat juga kawasan yang tidak ada liputan,” katanya.

“Kita berterimakasih kepada suruhanjaya kerana membenarkan kita untuk mengadakan ceramah. Namun ceramah tidak akan diadakan seperti biasa. Kita hanya membenarkan hadirin dengan jumlah tidak melebihi 150 orang, dan ceramah mesti ditamatkan sebelum jam 10.00 malam. Kita akan mematuhi SOP ini untuk menjaga kesihatan semua orang.”

Uggah berkata demikian kepada media selepas mengadakan pertemuan dengan Persatuan Pesara Kerajaan Spaoh di pusat perkhidmatannya di sini pada Selasa. – TVS

KEBAJIKAN DIJAGA … Uggah bersama Chuat bergambar bersama pengerusi Persatuan Pesara Kerajaan Spaoh, Hazmi @ Hajemi Jahan, untuk media.

Tags: #bm

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan