Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Operasi Pasar Teresang kembali normal, pendapatan peniaga semakin pulih

KAPIT, 1 Dis: Para peniaga di Pasar Teresang, di sini kini menarik nafas lega apabila mereka dapat kembali menjalankan perniagaan seperti biasa sejak 19 November lalu , bermula dari pukul 6 pagi sehingga 6 petang setiap hari.

Sebelum ini, disebabkan syarat ketat Pelan Pemulihan Negara (PPN) , pasar berkenaan hanya dibuka sebanyak tiga kali seminggu iaitu pada Isnin, Rabu dan Ahad dari pukul 6 pagi sehingga 2 petang bagi mengelakkan penularan pandemik COVID-19 di sini.

Peniaga hasil pertanian, Chabi Bana berkata, bilangan pelanggan yang datang membeli semakin bertambah sejak operasi perniagaan kembali normal.

“ Sebelum ini banyak sayur yang rosak kerana tidak ada yang membeli dan saya mengalami kerugian.

“Ada sesetengah sayur hanya dapat bertahan selama dua hari seperti daun sabung, cangkuk manis dan sawi hutan dan akan layu selepas itu. Bagi mengelakkan pembaziran, saya menjadikan sawi hutan sebagai pekasam,” katanya ketika ditemui TVS di sini hari ini.

Pada masa sama, Chabi turut berterima kasih kepada kerajaan negeri yang ambil peduli mengenai kesukaran yang dihadapi oleh golongan peniaga selepas operasi perniagaan dihadkan.

“Saya menerima Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) sebanyak RM1,500 untuk golongan peniaga kecil. Ini telah membantu mengurangkan beban kewangan dan kerugian yang ditanggung,” katanya.

Bagi Maznah Abdullah pula, permintaan bantal yang dihasilkannya juga semakin baik semenjak operasi perniagaan di Pasar Teresang dibuka penuh.

“Setakat ini saya tidak menang tangan untuk memenuhi pemintaan pelanggan kerana saya tidak mempunyai pekerja,” katanya.

Bagi melancarkan perniagaan, Maznah berkata, dia bercadang untuk menggaji pekerja selepas ini berikutan sambutan yang semakin menggalakkan.

Maznah yang juga pemilik Merit Maju Enterprise mendedahkan, dia turut menerima BKKS secara ‘one-off’ sebanyak RM3,000 untuk perusahaan mikro dan RM1,500 untuk peniaga kecil.

Sementara itu, bagi peniaga kuih dan biskut, Norlaila Abdullah, kedatangan pengunjung dari luar seperti Kuching, Sri Aman, Limbang dan Sibu ke Pasar Teresang membantu menambahkan hasil perniagaanya.

“ Biasanya semakin hampir musim perayaan, saya menerima banyak tempahan daripada pelanggan tempatan.

“Antara produk saya yang laku keras ialah Bingka Labu, Bingka Durian dan Bingka Lapis ,” katanya.

Tambah Norlaila, sebagai seorang ibu tunggal , berniaga kuih dan biskut di pasar berkenaan merupakan mencari mata pencarian tunggalnya.

“Hasil pendapatan menjual kuih inilah yang akan digunakan untuk menyara keluarga dan membeli segala keperluan rumah yang lain,” tambahnya.

Sebelum ini, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Kapit pada 17 November 2021 melalui Majlis Daerah Kapit telah membenarkan operasi Pasar Teresang, Night Street Market, Pasar Basah Song, Jungle Produce Market Song, Pasar Tamu Belaga dan Pasar Tamu Sungai Asap beroperasi pada skala penuh. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan