Search
Close this search box.

Senarai parti politik Sarawak yang berdaftar di bawah SPR

PENUBUHAN sesebuah kerajaan itu pada asasnya bermula daripada parti politik. Menyebut tentang parti politik, masing-masing pasti ada ideologi dan identiti tersendiri.

Namun untuk mengesahkan parti, memantapkan diri, dan memperjuangkan ideologinya, sesebuah parti itu harus terlebih dahulu didaftarkan di bawah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

SPR merupakan badan kerajaan yang memainkan peranan penting untuk mengatur pilihan raya bagi memilih calon-calon pelbagai parti untuk menggubal undang-undang mewakili rakyat dalam Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN), termasuk menjalankan pilihan raya kecil sekiranya berlaku kekosongan mengejut.

Selain itu, ia juga diamanahkan untuk menjalankan urusan pendaftaran pemilih dan menyediakan semakan daftar pemilih.

Setakat 20 Oktober 2021, sebanyak 59 buah parti telah mendaftar diri di bawah SPR.

Gabungan Parti Sarawak (GPS) merupakan satu gagasan politik yang menggabungkan empat buah parti dari Sarawak, iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

GPS kini dipengerusikan oleh Presiden PBB merangkap Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Penubuhan GPS bermula pada 9 Mei 2018 dan didaftarkan pada 23 Ogos 2018 di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) dan pendaftaran tersebut disahkan pada 19 November 2018.

Gabungan itu dirangka dengan mengambil kira kepentingan dan hak-hak negeri berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 selepas parti-parti komponen mengundurkan diri daripada gagasan Barisan Nasional (BN) ekoran kekalahan BN kepada gagasan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum pada 9 Mei 2018.

Walaupun GPS sekarang bukan sebahagian daripada gagasan-gagasan yang membentuk Kerajaan Persekutuan, seperti BN, Perikatan Nasional atau Muafakat Nasional, ia tidak menjadi penghalang kepada mereka untuk menjadi ‘rakan kerja’ dalam Kerajaan Persekutuan bagi memelihara kepentingan dan hak-hak negara.

SUPP merupakan parti politik yang pertama dan tertua di Sarawak. Ia diasaskan oleh Tan Sri Datuk Amar Ong Kee Hui pada tahun 1952 dan sekarang diketuai Dato Sri Prof. Dr Sim Kui Hian.

PBB adalah parti besar kedua yang ditubuhkan di Sarawak selepas SUPP. Ia terbentuk daripada penggabungan Parti Bumiputera dengan Parti Pesaka Anak Sarawak (Pesaka) selepas persetujuan dicapai pada 5 Januari 1973 dan ia didaftarkan secara rasmi pada 30 April 1973.

PRS pula ditubuhkan pada tahun 2004 ekoran pembatalan Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS). Selepas Presiden PRS merangkap Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing, meninggal dunia pada 31 Oktober lepas, kepimpinan parti diterajui buat sementara waktu oleh Timbalan Presiden Datuk Joseph Salang Gandum untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-12 Sarawak pada 18 Disember akan datang.

Ia dijangka akan mengadakan mesyuarat agung untuk memilih presiden dan barisan kepimpinan baharu PRS pada tahun depan.

PDP pula ditubuhkan oleh Datuk Peter Nyarok Entrie pada 9 November 2002 dan kini dipimpin oleh Dato Sri Tiong King Sing. – TVS

Tags: #bm

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan