Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

‘Katak hijau’ lemas, rakyat beri mesej mahu kestabilan di Melaka.

ByFirdaus Ismail

Info grafik : Jasperonia Leho

Malam tadi perkataan katak dan lompat kembali sohor kini di media sosial, sama ada Facebook, Instagram atau Twitter.

Fahamlah penulis apa yang cuba disampaikan oleh netizen yang peka kepada perkembangan politik negara.

Mereka membuat ‘bedah siasat’ serta analisis terperinci tentang keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Kita semua sedia maklum siapa yang menang dan berjaya menubuhkan kerajaan negeri serta pihak mana pula yang gigit jari  selepas keputusan rasmi diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)  kira – kira pukul 10 malam tadi.

Abaikan statistik keluar mengundi rendah iaitu 61 peratus sahaja sahaja kerana apa yang lebih penting, sekali lagi konsep demokrasi berparlimen ditegakkan.

Rakyat Melaka telah membuat keputusan di peti undi walaupun mungkin ada yang ‘memboikot’ PRN Melaka berdasarkan statistik berkenaan.

Bagaimanapun, janganlah menyalahkan mereka kerana jika kita imbas semula, sebenarnya PRN itu tidak perlu diadakan lebih – lebih lagi setelah sudah hampir dua tahun rakyat terkurung akibat serangan pandemik COVID-19.

Ketika sekatan pergerakan baharu sahaja dilonggarkan, sudah tentu rakyat Melaka ingin menikmati kehidupan mereka walaupun masih dipagari pelbagai standard operasi prosedur (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PNN).

Mungkin juga pengundi Melaka mengambil pendekatan enggan melayan karenah ahli – ahli politik apabila tidak keluar mengundi semalam.

Nah, semalam turut kecoh kisah seorang pengundi yang didapati positif COVID-19 selepas membuang undi di Alor Gajah.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan, status positif pengundi berkenaan dikesan apabila dia membuat ujian saringan di klinik selepas balik mengundi. Kita berharap tiada kluster baharu yang tercetus.

Berbalik kepada keputusan PRN ,  boleh dikatakan berlaku kejutan besar!.

Ini kerana pada mulanya persaingan sengit diramal berlaku oleh penganalisis politik yang rata – rata berpendapat, blok yang menang mungkin hanya berkelebihan satu atau dua kerusi sahaja , mirip keputusan ketika Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 lalu.

Ketika itu Pakatan Harapan (PH) merampas Melaka apabila menguasai 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding 13 yang berjaya dipertahankan Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun ramalan itu jauh ‘tersasar’ apabila BN membuat kebangkitan menakjubkan setelah memenangi 21 kerusi DUN.

Ia membawa maksud BN bukan sekadar menang dengan majoriti dua pertiga sebaliknya mencapai ukuran tiga perempat daripada keseluruhan kerusi yang ditawarkan.

Apa yang menjadi tumpuan juga ialah ‘nama – nama besar’ yang turun bertanding termasuklah Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang dijanjikan jawatan Ketua Menteri jika Perikatan Nasional (PN) menang majoriti.

Sejak awal lagi, Mas Ermieyati menjadi tumpuan kerana faktor sejarahnya, dilabel sebagai ‘katak’ oleh penyokong BN kerana beliau menyertai Bersatu selepas enam bulan BN ‘ditanam’ oleh rakyat dalam PRU Ke-14.

Pelbagai cacian diterima namun beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang -undang) itu dilihat tidak tenggelam ketika kempen malah berani ‘mengusik’ bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Figura politik yang mesra disapa Kak Emi itu memberi cabaran sengit di kerusi DUN Tanjung Bidara yang terletak di bawah Parlimen Masjid Tanah yang diwakilinya  namun terpaksa akur apabila tewas kepada ‘orang lama’, Datuk Seri Ab Rauf Yusof dengan majoriti kecil , 364 undi sahaja.

Netizen kembali ‘menyerang’ laman sosialnya namun sehingga tengah hari tadi, beliau masih belum memberikan sebarang ulasan.

PRN semalam turut menyaksikan tiga bekas Ketua Menteri turun bertanding dengan dua berjaya mempertahankan kerusi masing – masing iaitu Datuk Seri Sulaiman Ali (BN) menang dengan majoriti 3,104 di DUN Lendu. Adly Zahari (PH) menang di Bukit Katil dengan majoriti 1,057.

Bagi Datuk Seri Idris Haron, beliau mungkin mahu melupakan PRN Melaka apabila penampilan sulung bersama PH tidak menjadi.

Bekas Ketua Menteri Melaka dari 2013 hingga 2018  itu tumbang di Asahan kepada wakil UMNO dengan majoriti 2,993.

Sebelum ini, Idris bersama Datuk Nor Hassan , Datuk Norhizam Hassan Baktee dan Datuk Noor Effandi Ahmad mengumumkan mereka menarik sokongan kepada pentadbiran Sulaiman sekaligus menyebabkan kerajaan negeri tumbang serta membuka laluan kepada PRN.

PRN semalam turut memberi tamparan pedih kepada PKR apabila gagal memenangi sebarang kerusi di 11 DUN yang ditandinginya.

Lebih mengejutkan, Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin tewas di Paya Rumput.

“Nama besar’ lain yang ‘bungkus’  termasuklah Setiausaha DAP Melaka, Damien Yeo Shen Li yang kecundang di DUN Duyong kepada wakil UMNO, Mohd. Noor Helmy Abdul Halem dengan majoriti tipis 200.

Norhizam yang menggelarkan dirinya YB Viral pula ‘cedera parah’ di DUN Pengakalan Batu setelah ‘ dilanyak’ oleh seorang ‘nenek’ yang ditampilkan BN iaitu Datuk Kalsom Nordin.

Dalam pertandingan lima penjuru itu, beliau yang sebelum ini menang selesa atas tiket PH-DAP cuma menduduki tempat keempat sahaja.

Mengambil iktibar atas keputusan semalam, Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg merumuskan dua perkara iaitu rakyat mahukan kestabilan dan menolak budaya politik lompat melompat yang dilakukan oleh beberapa wakil rakyat atas kepentingan peribadi.

Abang Johari turut dilaporkan berkata, ada parti yang gagal mendapat kerusi di Melaka semalam dan ada di sini (Sarawak) tanpa merujuk nama mana – mana parti.

Secara kebetulan, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam berada di Sarawak kerana menghadiri beberapa program partinya, sebelah pagi di Kuching sebelum terbang ke Miri.

Mungkin Ahli Parlimen Port Dickson ingin meninjau kekuatan GPS di Sarawak sambil memberi kata – kata semangat kepada jentera partinya.

PKR di Sarawak yang menang tiga kerusi dalam PRN 2016 boleh dikatakan agak huru hara selepas beberapa wakil rakyatnya lompat parti namun itu bukanlah jaminan untuk GPS berasa selesa.

Abang Johari sendiri menegaskan, beliau yang berpengalaman bertanding selama sembilan kali tidak mengambil mudah setiap kali masuk gelanggang sebaliknya sentiasa mengukuhkan gerak kerja partinya dalam usaha menyampaikan mesej kepada lebih sejuta pengundi di Sarawak.

Tidak lain tidak bukan ialah  GPS sebagai pasukan yang stabil dan bersedia memacu negeri ini ke peringkat yang seterusnya.

Kepada BN, tahniah dan selamat melaksanakan tanggungjawab. Pastinya rakyat mengharapkan manisfesto mereka di PRN Melaka yang bertemakan ‘Kestabilan Demi Kemakmuran’ dapat dilaksanakan.

Selepas ini, PRN Ke-12 Sarawak yang ‘mengambil tempat’ sudah pasti akan turut menjadi tumpuan seluruh negara.

SPR akan bermesyuarat pada Rabu ini untuk menentukan tarikh pilihan raya , hari penamaan calon, tempoh berkempen, SOP dan sebagainya.

Rakyat Sarawak mengharapkan pilihan raya negeri yang aman bagi membolehkan mereka memilih kerajaan yang diyakini dapat membawa kestabilan kepada wilayah terbesar Malaysia ini. -TVS

Berita Berkaitan

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan