Search
Close this search box.

Perak turun ke Liga Perdana musim depan

ByFirdaus Ismail

KUALA LUMPUR: Pencapaian cemerlang Perak FC sebagai pasukan yang paling lama beraksi dalam Liga Super berakhir pada malam ini di Stadium Hang Jebat apabila mereka tumbang kepada Melaka United 1-2.

Perak yang berhempas pulas untuk kekal dalam Liga Super bermula dengan baik apabila mereka mendahului pasukan tuan rumah selepas Sergio Aguero menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-30, dan kedudukan itu kekal hingga berakhir separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua perlawanan, tuan rumah yang dibimbing Zainal Abidin Hassan kembali memperkemaskan permainan dan melakukan serangan demi serangan ke gawang pasukan pelawat.

Usaha mereka membuahkan hasil apabila berjaya melakukan jaringan penyamaan menerusi Manuel Ott pada minit ke-66.

Melaka United terus mengasak dan mendahului pasukan pelawat pada minit ke-79 menerusi Sony Norde, dan kedudukan itu kekal hingga wisel penamat dibunyikan.

Perak pula sah tersingkir dari Liga Super walaupun masih mempunyai baki satu perlawanan lagi untuk diharungi.

Namun demikian, sekiranya mereka menang sekalipun, jumlah mata yang bakal diperoleh hanyalah 16 mata, dan ini bermakna mereka tidak dapat mencabar kedudukan 10 pasukan teratas yang sudah mengesahkan tempat dalam Liga Super bagi musim depan.

Lebih memilukan penyokong skuad The Bos Gaurus, berita penurunan mereka ke Liga Perdana ini diterima pada ketika mereka meraikan ulang tahun ke-100 pasukan tersebut yang pernah menjulang Piala Malaysia sebanyak lapan kali.

Sarawak United, yang beraksi dalam Liga Perdana pada musim ini dan muncul selaku juara, akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Perak FC dan UiTM FC dalam Liga Super manakala beberapa pasukan lain yang bersaing dengan Sarawak United pada musim ini masih bersaing hebat untuk merebut satu lagi slot. – TVS

Ikuti TVS di TelegramFacebook, TwitterInstagramTikTok dan YouTube.

Tags: #bm

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan