Search
Close this search box.

Keadaan semasa menyebabkan kurangnya seks?

KUCHING, 25 OGOS: Kekurangan pasangan berkahwin, penangguhan perkahwinan, kerisauan tentang keadaan kesihatan untuk mengandung antara faktor yang dipercayai menyumbang kepada penurunan jumlah kelahiran bayi di Sarawak.

Demikian pandangan sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) Sarawak iaitu Persatuan Wanita Sarawak Bagi Wanita (SWWS) apabila diminta mengulas mengenai kebimbangan Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga Dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah tentang kadar kelahiran di Sarawak yang turun mendadak jika dibanding dengan tempoh sama tahun lalu.

“Kadar kelahiran yang rendah mungkin disebabkan oleh kurangnya perkahwinan sejak tahun lalu, mungkin di seluruh negeri kita.

“Dan saya juga rasakan ramai pasangan yang menunda perkahwinan mereka kerana perkahwinan ini sesuatu yang berlaku sekali seumur hidup, maka mereka sememangnya mengimpikan perkahwinan yang istimewa namun terkekang oleh SOP yang ketat seperti tiada perkumpulan yang ramai.

“Oleh itu, ramai seperti juga dalam keluarga saya sendiri, pasangan menangguhkan perkahwinan untuk masa yang lebih baik,” kata presiden SWWS Margaret Bedus.

Ulasnya lagi, bagi pasangan yang telah berkahwin, mungkin menangguhkan untuk mempunyai anak ketika ini kerana keadaan masih tidak selamat dan berisiko tinggi, terutamanya kepada ibu dan kandungan.

Minggu lalu Fatimah dilaporkan sebagai berkata penurunan ketara sebanyak 13,267 kelahiran itu berdasarkan statistik kelahiran yang didaftarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) manakala statistik pendaftaran kelahiran pada 2020 menurun sebanyak 8.2 peratus atau 2,788 berbanding tahun 2019.

Beliau telah melahirkan rasa hairan tidak berlakunya fenomena kelahiran bayi luar biasa atau Baby Boom di Sarawak, walaupun banyak pihak menjangkakan ia akan terjadi berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Fatimah berkata, jumlah kelahiran anak Sarawak warganegara Malaysia yang mempunyai taraf pemastautin huruf ‘K’ sebanyak 33,304 (92.2 peratus) pada 2019; 31,176 (91.8 peratus) pada 2020; dan 13,031 (90.5 peratus) setakat Julai tahun ini.

Beliau turut bimbang mengenai penurunan drastik tersebut kerana menyebabkan populasi rakyat negeri ini berkurangan, tidak selari dengan sasarannya menjadikan Sarawak negeri termaju menjelang 2030 dalam memperkukuh ekonomi negeri. – TVS

Ikuti TVS di TelegramFacebook, TwitterInstagramTikTok dan YouTube.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan