KPDNHEP Sibu sita hampir 3 tan minyak masak

SIBU, 17 OGOS: Sebanyak 2 2,975 kilogram minyak masak paket 1 kilogram yang dianggarkan bernilai RM7,437 berjaya disita Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Sibu dalam satu serbuan di kawasan perumahan di Rantau Panjang di sini. Ketua Cawangan KPDNHEP Sibu, Kelyn Bolhassan berkata serbuab tersebut berjaya ekoran risikan yang dilakukan selama lima hari di kawasan berkenaan. “Premis berkenaan disyaki melakukan kesalahan di bawah seksyen 20 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961. “Sebarang perlanggaran di bawah peruntukan akta ini boleh dikenakan tindakan undang-undang seperti berikut iaitu individu boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM1,000,000.00 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya, manakala syarikat boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM2,000,000.00,” katanya. Jelasnya, sejak Januari tahun ini, KPDNHEP Cawangan Sibu telah merekodkan sebanyak 119 kes di bawah akta yang dikuatkuasakan oleh Kementerian dengan nilai rampasan berjumlah RM210,625.50. Beliau menegaskan KPDNHEP cawangan Sibu akan terus bertindak bagi memastikan keperluan harian sentiasa mencukupi dalam tempoh pandemik Covid-19 ini. Sehubungan itu, katanya orang ramai yang mahu menyalurkan sebarang maklumat atau aduan mengenai kegiatan peniaga yang tidak beretika kepada Kementerian melalui aplikasi telefon pintar Ez ADU atau laman web (eaduan.kpdnhep.gov.my) atau e-mel (e-aduan@kpdnhep.gov.my). “Orang ramai juga boleh membuat laporan terus ke pejabat KPDNHEP Cawangan Sibu di Tingkat 1, Wisma Persekutuan Blok 3, Persiaran Brooke, 96000 Sibu, Sarawak atau hubungi nombor telefon pejabat KPDNHEP Cawangan Sibu di talian 084-335622 atau WhatApps ke 019-279 4317,” tambah beliau.