Search
Close this search box.

Kes Covid ibu hamil meningkat dengan 70 kematian – KP kesihatan

KUALA LUMPUR, 11 Ogos — Kementerian Kesihatan memaklumkan sebanyak 70 kes kematian ibu hamil disebabkan komplikasi jangkitan COVID-19 dilaporkan sehingga 9 Ogos lepas berbanding sifar kematian ibu hamil direkodkan pada 2020 akibat komplikasi wabak itu.

Ketua Pengarahnya Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata pada tahun ini, purata kes COVID-19 bagi bulan Januari sehingga Mei adalah sebanyak dua kes pada setiap bulan, namun berlaku peningkatan kes kematian mendadak sejak Jun iaitu 17 kematian.

“Data menunjukkan dua kes daripada jumlah tersebut telah menerima dos pertama vaksin manakala 15 kes yang lain tidak menerima vaksinasi selain 47 peratus daripada kes kematian yang dilaporkan mempunyai komorbiditi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata sebanyak 3,396 kes COVID-19 dilaporkan dalam kalangan ibu hamil di Malaysia sejak Mac 2020 sehingga Jun 2021. 

Katanya  jumlah kes yang dilaporkan semakin meningkat mulai Oktober 2020 dengan purata 200 kes jangkitan sebulan iaitu lonjakan kes adalah pada Mei 2021 (850 kes) dan Jun 2021 (899 kes).

“Peratus ibu hamil yang dijangkiti COVID-19 yang menerima penjagaan rawatan rapi telah meningkat daripada tiga peratus pada 10 Julai lepas kepada 5.3 peratus pada 7 Ogos 2021,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata analisa terperinci menunjukkan nisbah kes ibu hamil dijangkiti yang menerima rawatan rapi berbanding jumlah pesakit COVID-19 kritikal ialah satu dalam 20 yang nisbahnya jauh lebih tinggi berbanding nisbah jangkitan ibu hamil dalam populasi umum iaitu satu dalam 220.

Katanya dianggarkan hampir satu peratus ibu hamil di negara ini dijangkiti wabak berkenaan.

Sementara itu, beliau memperincikan seramai 146,759 ibu hamil telah mendaftar di aplikasi MySejahtera bagi mendapatkan vaksin COVID-19 setakat 8 Ogos lepas, sejak kempen ‘ibunisasi’ dimulakan pada akhir Jun 2021.

“Daripada jumlah tersebut, seramai 83,251 (57 peratus) ibu hamil telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin manakala 20 peratus ibu hamil telah lengkap menerima dua dos vaksin,” katanya.

Menurut Dr Noor Hisham berdasarkan anggaran ibu hamil setahun, peratus ibu hamil yang mendaftar untuk mendapatkan vaksin di aplikasi MySejahtera masih rendah iaitu sebanyak 40 peratus.

Justeru, KKM menyeru semua ibu hamil untuk mendapatkan vaksin COVID-19 bagi mengurangkan risiko komplikasi sekiranya dijangkiti dan suami diminta memberi sokongan kepada pasangan bagi memastikan mereka mendapat suntikan vaksin.

Dr Noor Hisham berkata  pengambilan vaksin perlu dilengkapkan sebelum memasuki fasa akhir kehamilan iaitu trimester ketiga dan mereka yang masih belum menerima janji temu untuk vaksinasi boleh menghubungi klinik kesihatan terdekat bagi mempercepatkan proses janji temu. 

— BERNAMA

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan