Search
Close this search box.

Jumlah jawatan dalam sektor ekonomi turun 0.4 peratus pada suku kedua 2021 – Perangkaan

KUALA LUMPUR, 12 Ogos — Jumlah jawatan dalam sektor ekonomi berkurang 0.4 peratus kepada 8.35 juta pada suku kedua 2021, menurut Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata berbanding suku tahun sebelumnya, jumlah jawatan terus menurun sebanyak 0.9 peratus (suku pertama 2021: -0.4 peratus) yang menunjukkan momentum pemulihan yang tidak menentu dalam permintaan buruh berikutan impak krisis kesihatan yang berpanjangan dan langkah pencegahan yang dilaksanakan sejak Mac 2020.

“Berikutan peningkatan kes harian baharu COVID-19 pada suku ini, langkah-langkah pencegahan yang lebih ketat telah dilaksanakan mulai pertengahan Mei yang mengehadkan waktu operasi perniagaan dan hanya perkhidmatan penting dibenarkan beroperasi.

“Ini seterusnya digambarkan oleh penurunan sebanyak 0.5 peratus jawatan diisi yang merekodkan 8.17 juta jawatan pada suku kedua 2021 (suku kedua 2020: 8.21 juta),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Uzir berkata pada suku tahun ini, bilangan kekosongan jawatan dalam sektor ekonomi adalah 178,000, meningkat 5.0 peratus disebabkan asas bilangan rendah yang direkodkan pada suku kedua 2020 (169,500).

Bilangan kekosongan jawatan juga kekal lebih rendah daripada purata 200,000 kekosongan jawatan yang direkodkan dalam tempoh sebelum krisis. Kedua-dua kadar pengisian jawatan dan kekosongan jawatan masing-masing kekal pada 97.9 dan 2.1 peratus.

Mengulas selanjutnya mengenai kedudukan jawatan yang diisi pada suku kedua 2021, beliau berkata, hampir semua sektor merekodkan trend menurun kecuali sektor pembuatan yang mencatatkan peningkatan 0.9 peratus (suku pertama 2021: -0.1 peratus) dengan mencatatkan 2.16 juta jawatan.

Dari segi komposisi mengikut kategori kemahiran, lebih separuh daripadanya adalah kategori separuh mahir dengan peratus sumbangan 62.4 peratus (5.1 juta), manakala kategori mahir merangkumi 24.7 peratus (2.0 juta).

“Secara umumnya, permintaan buruh dalam sektor ekonomi pada suku ini masih kekal dengan trend menurun berikutan operasi perniagaan yang belum pulih sepenuhnya selaras situasi semasa krisis kesihatan awam.

“Bagaimanapun, pakej rangsangan ekonomi dan inisiatif yang dilaksanakan kerajaan akan membantu meringankan bebanan perniagaan dan seterusnya mengekalkan guna tenaga dalam ekonomi.

“Selain itu, perkembangan positif kadar vaksinasi seperti yang disasarkan dalam Pelan Pemulihan Negara akan membolehkan perniagaan memperoleh impak lebih memberangsangkan dan seterusnya meningkatkan momentum pemulihan permintaan buruh di Malaysia,” katanya.

— BERNAMA

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan