Search
Close this search box.

Vaksinasi : Petugas perlu maklumkan pihak atasan jika keletihan


SUNGAI SIPUT, 21 Julai — Petugas kesihatan yang keletihan fizikal dan mental perlu memaklumkan kepada pihak atasan mengenai keadaan diri mereka dan minta direhatkan sementara daripada sebarang tugasan, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Beliau berkata mereka perlu direhatkan dan digantikan dengan orang lain agar tidak mengganggu kelancaran proses suntikan vaksinasi di pusat pemberian vaksin (PPV).

“Apabila kita (petugas kesihatan) sudah letih, mesti beritahu supaya dapat direhatkan, apabila (kerja) diteruskan juga, kerja tidak jadi produktif kerana tugas memberi vaksinasi satu perkara yang sangat serius melibatkan kesihatan dan nyawa orang lain,” katanya selepas melawat PPV Dewan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar di sini hari ini.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) sedar ada petugas kesihatan yang mengalami keletihan mental dan fizikal ketika negara berdepan dengan pandemik COVID-19 sejak setahun lepas yang memerlukan penugasan serta pengoperasiaan lebih daripada jadual atau tugasan biasa.

Sementara itu, Dr Noor Azmi berkata pihaknya mengambil maklum mengenai kes seorang wanita yang didakwa menjadi mangsa gangguan seksual oleh seorang anggota keselamatan yang bertugas di sebuah PPV di Johor Bahru, Johor Ahad lepas.

“Sudah pasti kalau ada perkara yang tidak baik dan tidak betul dilakukan oleh mana-mana pihak, tindakan mesti diambil kerana perkara seperti ini boleh menakut-nakutkan orang ramai untuk datang ke PPV bagi suntikan vaksin,” katanya.

— BERNAMA

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan